SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian memberi tumpuan meningkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi tanpa meminggirkan mana-mana negeri menerusi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion yang bakal dijana termasuk sasaran kehadiran 35.6 juta pelancong menerusi TMM2026 mampu dicapai dengan pembabitan semua pihak.
“TMM2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang utama dan ini bermulanya satu inisiatif, ikhtiar supaya betul-betul mencatat pertumbuhan pelancongan ke seluruh negara.
“Saya minta semua kementerian memberikan tumpuan supaya Malaysia dapat meningkatkan keupayaan bidang pelancongan dan tentunya pelaburan serta ekonomi supaya tidak ada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen TMM2026 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.