Sasaran 3 juta ketibaan pelancong ke Sabah akan tercapai

Date:

KOTA KINABALU: Sabah akan mencapai sasaran tiga juta ketibaan pelancong memandangkan kini sejumlah 2.42 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa berjaya direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia adalah pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan usaha semua pihak untuk memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang maju. 

“Saya yakin menjelang akhir tahun ini, sasaran tiga juta ketibaan pelancong dapat dicapai.

“Berpandukan kejayaan ini, kita akan terus mempertingkatkan infrastruktur pelancongan dengan memberi fokus kepada pelancongan bernilai tinggi dan lestari yang menonjolkan kekayaan alam semula jadi serta budaya Sabah,” katanya pada Malam Penghargaan Pelancongan Sabah di sini, semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.

Hajiji berkata, lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik pelancong ke Sabah.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian atau produk dan perkhidmatan yang sedia ada. 

“Untuk terus bersaing dan kekal relevan, kita mesti proaktif dalam memperkenalkan produk baharu dan meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pelancong, sama ada yang baharu pertama kali datang atau yang datang semula.

“Saya gembira melihat banyak usaha telah dilakukan oleh pasukan Lembaga Pelancongan Sabah untuk mempromosikan Sabah dengan bekerjasama bersama industri dalam mewujudkan inisiatif menang-menang.

“Saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama inklusif, khususnya melalui usahasama yang berkesan diantara pelancongan Sabah dan pemain industri, sama ada di peringkat dalaman atau luaran, untuk mencari jalan ke hadapan bagi memajukan industri pelancongan serta memastikan sektor ini terus menjadi pemacu utama ekonomi Sabah,” katanya.

Hajiji juga berbangga dengan pertumbuhan positif dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) yang telah memberi manfaat dan memperkasa komuniti tempatan di seluruh Sabah.

Menurutnya, dengan hanya lima produk ketika projek perintis CoBT dimulakan pada 2014, inisiatif ini kini mempunyai 107 pemilik dan pengendali CoBT berdaftar. 

Katanya, Pertumbuhan ini telah diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah. 

“Saya berharap CoBT terus dibangunkan secara agresif kerana potensinya yang besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.

Sebagai salah satu kekuatan utama Sabah katanya, pelancongan kekal sebagai antara tiga penyumbang ekonomi terbesar negeri, yang bukan sahaja menjana pendapatan besar tetapi juga mencipta pelbagai peluang ekonomi untuk rakyat.

“Adalah penting untuk menyedari bahawa pelancongan bertindak sebagai pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan untuk komuniti tempatan kita. 

“Ia menyediakan sumber pendapatan melalui pelbagai industri termasuk hospitaliti, pengangkutan, pemanduan pelancong dan CoBT. 

“Ia membolehkan rakyat kita mempamerkan keindahan serta keunikan Sabah dan budaya…memastikan manfaat pelancongan dirasai secara meluas di setiap pelosok negeri kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa peranan pelancongan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dengan memacu pertumbuhan ekonomi, mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan amalan lestari dan meraikan warisan budaya serta alam semula jadi kita, sektor pelancongan berfungsi sebagai jambatan antara pembangunan serta kelestarian.

“Bersama-sama, kita membina masa depan yang memberi manfaat kepada komuniti kita dan juga alam sekitar,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai serta tetamu kehormat yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...
Exit mobile version