Imigresen perkenalkan eSP bagi mentransformasi perkhidmatan ke arah digital – Saifuddin

Date:

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) akan memperkenalkan pas khas dalam talian (eSP) bermula Januari 2025, iaitu satu daripada inisiatif mentransformasi penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitalan dan mempercepat urusan kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pas khas merupakan satu dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing bertujuan untuk memberi hak kepada pemegang untuk masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi tiga puluh hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut Saifuddin Nasution, ketika ini urusan permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual iaitu pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.

“Secara purata, 50 peratus daripada jumlah urus niaga di kaunter Pas Lawatan Sosial dan Ikhtisas di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen adalah berkaitan permohonan pas khas dan hal ini mengakibatkan kesesakan.

“Pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu secara silent office,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Untuk rekod, pada 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan manakala setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas telah dikeluarkan kepada warga asing.

Beliau berkata mana-mana warga asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baharu atau lanjutan dan pertukaran pas lawatan sosial jangka panjang, pas lawatan ikhtisas atau yang mengalami masalah seperti dimasukkan ke hospital, kemalangan jalan raya, bencana alam, berada di dalam situasi yang di luar kawalan pemohon serta sebab lain yang difikirkan wajar dan munasabah boleh memohon kemudahan eSP.

“Secara asasnya, eSP adalah suatu kemudahan kepada pemohon dalam menguruskan hal berkaitan imigresen, terutamanya dalam situasi kecemasan atau yang memerlukan pertimbangan khas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan KDN tidak berkompromi dari aspek keselamatan iaitu walaupun proses permohonan dilakukan secara dalam talian, aspek keselamatan dan ketelusan tidak akan diabaikan.

Pemohon perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan mengikut dasar semasa yang berkuatkuasa dan dikehendaki memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan.

Setiap permohonan akan disemak dengan teliti oleh pegawai untuk memastikan hanya warga asing yang benar-benar layak akan diberikan kemudahan eSP.

Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak diluluskan, akan diarahkan untuk hadir ke pejabat Imigresen terdekat bagi pemeriksaan lanjut dan penjelasan berhubung status permohonan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...
Exit mobile version