KUALA LUMPUR: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tidak akan menjejaskan operasi, obligasi serta kewajipannya kepada pihak ketiga termasuk membabitkan pembekalan baja padi kepada pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata fungsi itu akan berjalan seperti biasa dengan diteruskan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.
“Bagi urusan perniagaan NAFAS yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.
“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola NAFAS bagi memperkasa semula NAFAS secara holistik.
“Ini untuk memastikan NAFAS beroperasi mengikut hala tuju dan semangat penubuhan NAFAS selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaklumkan memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Beberapa siri pembongkaran sudah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.
Susulan pembongkaran itu, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS berkuatkuasa serta merta.
Arahan penggantungan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Dalam tempoh penggantungan itu, Jemaah Pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.
Mohamad berkata, Jawatankuasa Khas Pemantauan bagi Pemantapan Tatakelola NAFAS akan mengesyorkan tempoh masa sesuai bagi menarik semula penggantungan Perlembagaan syarikat itu.
Beliau berkata, penarikan semula penggantungan itu kelak akan disusuli beberapa pindaan terhadap undang-undang, yang berkaitan kuasa menteri dan kementerian.
“Kali ini tempoh masa penggantungan kita akan lihat ‘recommendation’ (cadangan) daripada pihak yang menjadi (bertanggungjawab dalam urusan) tatakelola ini.
“Kalau sudah selesai semua dan sudah berada di landasan baik, kita akan angkat penggantungan itu dengan pindaan di bawah kuasa menteri dan kementerian, dengan dinasihati penasihat undang-undang dalam kementerian atau dari Pejabat Peguam Negara.
“Kita akan ambil semua pandangan, supaya bila tarik penggantungan, ia berjalan dengan baik dan tidak ada kuasa bertindih pada masa akan datang,” katanya
Dalam pada itu, Mohamad berkata lapan strategi pembaharuan dan hala tuju kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam menstruktur semula NAFAS sudah digariskan antaranya dengan menambah baik tatakelola serta penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus NAFAS.
Selain itu, katanya penstrukturan semula syarikat subsidiari NAFAS, audit pengurusan dan pemantauan berterusan, pengukuhan mekanisme semak dan imbang, penguatkuasaan kod etika dan integriti, mempelbagaikan sumber pendapatan dan pemulihan kepercayaan awam.