Home Berita Ekonomi Sabah terbukti kukuh dan berdaya tahan

Ekonomi Sabah terbukti kukuh dan berdaya tahan

0

KOTA KINABALU: Sabah berjaya membuktikan ekonomi negeri ini berdaya tahan dengan menunjukkan pertumbuhan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri telah mencapai kejayaan dalam pelaburan dalam pelbagai sektor  utama, menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

“Bagi tahun 2023, Sabah mencatatkan RM11.34 bilion dalam pelaburan, menjadikannya negeri ketujuh tertinggi di Malaysia dengan 13.3 peratus daripada sektor pembuatan sahaja.

“Kejayaan ini menunjukkan kemampuan Sabah untuk menarik pemain global dalam pelbagai industri, dari pembuatan berteknologi tinggi sehingga produk berasaskan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menjadikan reputasi Sabah semakin berkembang dan sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” katanya pada Majlis Makan Malam Anugerah Sabah Top Achievers 2024, di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, fokus kerajaan negeri terhadap tiga tonggak utama yang digariskan dalam rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pada sektor Pertanian, Industri, dan Pelancongan.

“Melahirkan rakyat berdaya saing, memperkukuh rangkaian hubungan serta pendekatan kelestarian telah meletakkan Sabah di landasan tepat untuk pembangunan dalam tempoh lima tahun bermula 2021,” katanya.

Oleh itu katanya, para usahawan, pemimpin korporat dan inovator yang dihormati di majlis malam ini memainkan peranan penting dalam kejayaan itu.

Menurutnya, memacu kemajuan negeri dan memastikan Sabah terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Saya yakin, majlis seperti Sabah Top Achievers 2024 ini akan mengangkat kedudukan Sabah, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, dengan meraikan bakat dan kejayaan dari negeri ini. 

“Semoga kejayaan anda memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan Sabah,” katanya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version