Penganjuran SUKMA 2024 antara terbaik yang pernah dianjurkan di Malaysia – PM Anwar

Date:

KUCHING: Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi cemerlang dan luar biasa dipamerkan semua atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Perdana Menteri berkata, semangat juang tinggi yang dipamerkan setiap atlet berkenaan telah membawa kepada kejayaan memecahkan beberapa rekod kebangsaan pada temasya kali ini.

Lebih membanggakan, beliau berkata, di sebalik perjuangan untuk meraih kemenangan dalam acara ditandingi, atlet tetap bersaing bersama semangat perpaduan serta menjalinkan hubungan akrab dengan atlet dari kontinjen lain.

“Semangat kesukanan dan perpaduan sangat hebat ini yang kita hendak pupuk. Kadang-kadang kita dengar ada (sukan) antara negeri, jabatan, wilayah, sekolah dan universiti terlalu sengit.

“Semangat ini perlu dikekalkan dan ini yang disebut sebagai ihsan dalam MADANI… tahniah anak Sarawak dan semua kontinjen kerana menunjukkan perpaduan yang sangat tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Sarawak yang muncul juara SUKMA 2024 dengan merangkul 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Beliau sekali gus ‘mencabar’ kontinjen Bumi Kenyalang supaya mempertahankan kejuaraan itu dalam edisi akan datang di Selangor pada 2026.

“Sarawak dapat pertahankan prestasi ini atau tidak, kita lihat pada (SUKMA) 2026 nanti.

“Hebat Sarawak ini… ini baru semangat Segulai Sejalai. Tahniah juga kepada Wilayah Persekutuan yang memberi saingan sengit dan pada saat akhir, Sarawak catat kemenangan sebagai kontinjen terbaik,” katanya.

Ini merupakan kali keempat Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA selepas edisi 1990, 1992 dan 1994.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan pada SUKMA 2024 di tempat kedua dengan membolot 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan semua pihak terbabit atas kejayaan penganjuran SUKMA 2024 yang disifatkan beliau sebagai antara terbaik pernah dianjurkan di Malaysia.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anak-anak yang mencatat kemajuan, bekerja bertungkus lumus, guru, pendidik, pelatih dan seluruh jentera yang menjayakan SUKMA ke-21 di Sarawak,” katanya.

Temasya edisi ke-21 itu yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lalu melabuhkan tirainya, malam ini.

SUKMA diperkenalkan pada 1986 dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan kebangsaan itu pada 1990 dan 2016. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...
Exit mobile version