Sektor pelancongan Sabah mampu kembali ke era kegemilangan

Date:

Share post:

KOTA KINABALU: Sektor pelacongan Sabah semakin rancak membangun dengan kehadiran ramai pelancong dari luar negara dan juga domestik.

Keadaan ini dapat dilihat apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) mencapai sehingga 92 peratus kadar pemulihan penumpang bermula 1 Januari sehingga 5 Ogos tahun ini.

Ini adalah petanda positif ke arah kemajuan negeri apabila sektor pelancongan merupakan salah satu industri yang memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi Sabah.

Berdasarkan laporan oleh Pengurus Kanan Lapangan Terbang (LTAKK) Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) Jefry Ramli, sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 5 Ogos tahun ini, LTAKK telah mengendalikan seramai 4,578,661 penumpang.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan perkara itu kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew pada mesyuarat pasca kabinet menteri baru-baru ini.

Selain itu, Christina juga berkata, kerja-kerja naik taraf kemudahan awam dalam LTAKK sedang dilakukan. 

“Kerja-kerja baik pulih membabitkan lima buah tandas sedia ada yang menggunakan belanja RM2.5 juta dijangka siap pada pertengahan September.

“Fasa Dua yang melibatkan kerja baik pulih 21 tandas sedia ada dijangka dimulakan pada Oktober,” katanya.

Selain itu, beliau juga yakin nasihat perjalanan dikeluarkan oleh beberapa negara yang melarang rakyatnya untuk melancong ke Pantai Timur Sabah akan mempunyai perkembangan positif.

Ini berikutan beberapa perwakilan asing diberikan taklimat keselamatan membabitkan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) baru-baru ini.

Baru-baru ini, Christina bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution serta wakil dari sembilan negara asing yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah berkunjung ke Semporna.

“Wakil-wakil negara asing itu dijemput bagi menghadiri taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan di sepanjang Pantai Timur Sabah, khususnya ESSZone dan melawat pulau-pulau seperti Sipadan, Kapalai, dan Mabul.

“Ini kerana sembilan negara itu adalah antara negara yang telah mengenakan sekatan perjalanan yang melarang rakyat mereka daripada mengunjungi bahagian Pantai Timur Sabah.

“Mereka masih mempunyai gambaran tentang apa yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu,” katanya.

Selain itu, AirAsia dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut menjalinkan kerjasama strategik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan sektor pelancongan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kerjasama ini dijangka akan memperkukuh status Negeri di Bawah Bayu sebagai destinasi pelancongan utama dengan meningkatkan sambungan udara antara Sabah dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta rantau Asean yang lebih besar, Asia Utara dan Oceania bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Kumpulan AirAsia berhasrat untuk meningkatkan rangkaian secara keseluruhan di Sabah dengan melancarkan 14 laluan domestik dan antarabangsa yang menarik termasuk Kota Kinabalu-Bandar Seri Begawan, Kota Kinabalu-Perth, Tawau-Guangzhou, Sandakan-Hong Kong, dan lain-lain. 

Pelancaran ini tertakluk kepada permintaan dua hala bagi setiap laluan, kelulusan pengawal selia dan permintaan pasaran.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga mengumumkan Program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H). 

Katanya, Sabah-MM2H adalah program yang dirancang khusus untuk menarik minat pelabur luar ke negeri ini.

Menurutnya, Sabah terkenal di peringkat global dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian biodiversiti, kebudayaan dan paling penting adalah suasana yang kondusif untuk kehidupan.

Oleh itu katanya, Sabah-MM2H akan menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan bagi pesara luar negara atau individu yang mahu berhijrah ke negeri ini untuk satu tempoh masa yang lama.

Christina berkata, program Sabah-MM2H bukan sahaja sebagai cara untuk menarik pelabur untuk menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka, tetapi juga sebagai pemangkin bagi pertukaran budaya, kemakmuran ekonomi dan pembangunan lestari dalam komuniti negeri ini.

“Program Sabah-MM2H menawarkan visa yang boleh diperbaharui selama 10 tahun dengan pelbagai keistimewaan.

“Ini akan membolehkan peserta menikmati kebebasan untuk meneroka dan menikmati segala kemudahan serta keindahan yang ditawarkan di negeri ini tanpa ada sekatan,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan di China, Xiamen Airlines turut menyambung semula laluan ke Kota Kinabalu berkuatkuasa 27 Jun lalu.

Penerbangan langsung itu disambung semula selepas terhenti akibat berlakunya pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Selain itu, Shanghai Airlines juga akan melancarkan penerbangan berjadual mereka dari Shanghai terus ke Tawau bermula 28 Jun lalu.

Sementara itu, ketika mengadakan lawatan kerja ke Budapest, Hungary. Christina bersama rombongan berjaya mengadakan pertemuan dengan Timbalan Datuk Bandar Budapest for Human Affairs Dr Anett Bosz 

Katanya, wujud potensi besar dalam sektor pelancongan diantara Sabah dan Hungary menerusi usahasama yang dilaksanakan.

“Pertemuan ini membawakan peluang berharga kepada Sabah untuk menerokai pasaran baharu dan memperkenalkan destinasi Eropah tengah.

“Lawatan di sini adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bandar Budapest dan daya tarikan pelancongan di sini.

“Kita juga menggalakkan pengusaha dan ejen pelancongan di sini untuk mewujudkan kerjasama dan bersama-sama memperkenalkan Sabah kepada Hungary dan sebaliknya,” katanya.

Selain itu,  Christina juga mengetuai delegasi dari STB untuk hadir ke ITB Berlin 2024, iaitu pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia yang akan bermula pada 5 Mac sehingga 7 Mac awal tahun ini di tapak pameran Berlin.

Pelbagai inisiatif serta usaha telah dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk menarik pelancong luar negara ke Sabah.

Tidak dinafikan angka ketibaan pelancong yang semakin meningkat ke Sabah adalah petanda positif bahawa sektor pelancongan negeri ini mampu kembali ke era kegemilangan seperti zaman sebelum berlakunya Pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Ringgit teruskan momentum positif

Ringgit meneruskan momentum positif baru-baru ini untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Jumaat

PM Anwar ajak orang ramai hadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

program itu ialah inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi

JPN di fasa akhir muktamadkan penukaran mykad generasi baharu

penggantian kad pengenalan struktur baharu itu bertujuan memastikan kad pengenalan bakal dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini

Sabah memerlukan 7000 doktor bagi mencapai nisbah 1 doktor setiap 500 penduduk

Kalau sekarang ini, dengan jumlah itu satu doktor jaga 1,400 orang. Untuk mencapai nisbah satu doktor 500 orang mengikut WHO kita perlu 7,000 doktor di Sabah