PUTRAJAYA : Pendekatan holistik amat diperlukan dalam memastikan kawasan desa dan luar bandar tidak akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan, baik dari segi kesejahteraan penduduk, ekonomi dan juga penyediaan infrastruktur yang bersesuaian.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain pembangunan fizikal, kerajaan juga perlu menitik berat soal pembangunan minda dan sikap penduduk di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, koordinasi pembangunan di kawasan desa dan luar bandar perlu kerana liputannya yang merangkumi 47 peratus pada masa kini, berkemungkinan besar akan mengecil ekitar 25 peratus sahaja menjelang 2050 kerana faktor urbanisasi dan migrasi.
“Kita tahu dalam tempoh satu dekad ini, jumlah migrasi dan urbanisasi akan berlaku. Yang penting kita dapat memastikan perimbangan pembangunan bukan saja fizikal, tapi minda dan sikap di kalangan penduduk di kawasan desa, luar bandar,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan menyempurnakan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara 2024, di sini, pada Khamis.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, penganjuran simposium dengan kerjasama pintar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bertepatan dengan Malaysia meningkatkan lagi persiapan bagi menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Selain itu, beliau berkata, hasil perbincangan dan dapatan di antara pakar dan pemegang taruh dalam simposium itu juga bakal memberi input yang mendalam dalam penghasilan Dasar Perancangan Fizikal Luar Bandar Kebangsaan 2030, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, dan juga penyusunan Rancangan Malaysia ke-13.
KKDW, katanya, telah membelanjakan RM10.49 bilion antara 2020 hingga 2024, bagi memastikan pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan juga kemudahan sosial untuk kampung-kampung orang Asli dan kawasan pendalaman.
Antara sektor yang boleh dijadikan pemangkin untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk di desa dan luar bandar, jelas beliau, adalah sektor Pendidikan dan Latihan Teknologi dan Vokasional (TVET).
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Malaysia, saya mahu TVET menjadi kuasa transformatif dalam sistem pendidikan Malaysia. Saya membayangkan ia akan menjadi pilihan untuk melonjakkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, dan menawarkan peluang pekerjaan yang luas, khususnya untuk belia.
“Kita perlu ingat ia adalah sesuatu yang penting bahawa, untuk menghasilkan program penurunan kadar kemiskinan yang komprehensif, kita perlu memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi,” kata Ahmad Zahid, yang melihat TVET merupakan satu jalan yang terbaik untuk menangani isu tersebut.