Garis panduan baharu lesen pengendali umrah akan diumumkan – Khairul Firdaus

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Garis panduan baharu berkaitan lesen pengendalian umrah akan diumumkan bulan depan, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Ia berhubung permohonan tambah bidang lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah atau ziarah.

Beliau berkata garis panduan itu merangkumi beberapa syarat untuk memastikan syarikat pengendali umrah menjalankan perniagaan mengikut ketetapan, mengambil kira semua aspek bagi membendung kes yang tidak diingini membabitkan bakal jemaah.

“Untuk makluman, kita telah melakukan beberapa siri libat urus sejak tahun lalu hingga tahun ini. Berdasarkan siri libat urus itu, kita akan mengakreditasi syarikat umrah supaya ia lebih tersusun dan teratur.

“Ia termasuk bagi mengekang kes penipuan seperti disebutkan. Walaupun jumlah (kes) tidak signifikan tapi masih memberikan satu petunjuk yang tidak sihat untuk industri umrah itu sendiri.

“Kriteria yang akan diumumkan pada Ogos (bulan depan) akan pastikan syarikat pengendali umrah ini benar-benar melakukan perniagaan secara yang telah dijanjikan oleh mereka.

“Seperti mana yang kita mahukan juga, pakej yang telah dihidangkan oleh syarikat-syarikat itu mestinya dipenuhi, seperti yang telah ditawarkan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung syor kepada kementerian sama ada mempertimbang untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti aduan pakej umrah termasuk mahu mengetahui usaha dirangka bagi membantu mangsa penipuan umrah.

Difahamkan, antara syarat baharu yang bakal diperkenal dan dikuatkuasakan mengandungi beberapa perkara.

Selepas ini pengendali umrah perlu menyediakan jaminan bank bernilai RM200,000 dan modal berbayar syarikat baharu pengendali umrah ditetapkan minimum RM500,000.

Selain itu, syarat baharu nanti menetapkan syarikat pengendali perlu mempunyai guru agama atau pembimbing, mengemaskini laporan kewangan syarikat dan mengemukakan status kewangan ahli lembaga pengarah (ALP).

Dalam syarat itu nanti turut menggariskan penguatkuasaaan kontrak perjanjian dengan bakal jemaah umrah dan kontrak perjanjian dengan syarikat pengendali di Arab Saudi (ground handling).

Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasaan lebih baik selari dengan usaha mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah.

Beliau berkata penambahbaikan akta itu perlu memandangkan ia telah lama tidak diperbaharui selain membantu pengawasan kes penipuan pakej pelancongan.

“Untuk (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakukan pengawasan setiap masa ia bergantung kepada aduan yang kita diterima, itu yang pertama.

“Keduanya, dari sudut kekangan pegawai penguat kuasa dari kementerian (MOTAC) yang tidak mungkin dapat kita melihat setiap kejadian tu secara tuntas,” katanya.

Berdasarkan statistik yang dikongsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2019 hingga Mei lalu, sebanyak 252 kertas siasatan dibuka membabitkan kes penipuan umrah membabitkan kerugian sebanyak RM9.81 juta.

Statistik Tribunal Tuntutan Penggunaan Malaysia (TTPM) dalam tempoh sama menunjukkan, mencatatkan 1,549 kes dengan jumlah tuntutan RM29.58 juta dan award RM16.37 juta.

Bagi 2023 hingga Mei 2024, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima 349 aduan membabitkan isu umrah dengan kerugian sebanyak RM14.09 juta.

MOTAC sudah pun membuka 19 kertas siasatan berkaitan umrah dengan lapan kes dikompaun sebanyak RM241,000, manakala yang lain masih dalam siasatan ke atas agensi pengendali umrah.

Selain itu, MOTAC juga menggantung dan membatal lesen bagi dua agensi pengendali umrah berhubung dengan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan