Individu, pemilik kilang curi air perlu diheret ke mahkamah – Hajiji

Date:

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah diarahkan untuk menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi membawa pesalah curi air ke mahkamah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pesalah-pesalah ini perlu ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Kita mahu kilang-kilang yang didapati mencuri air dibawa ke mahkamah dan tidak lagi hanya mengeluarkan kompaun kepada mereka.

“Penting bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, yang merupakan yang tertinggi di negara ini,” katanya.

Bercakap pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri, hari ini. Hajiji berkata, kabinet negeri telah memanggil jabatan air untuk taklimat susulan demonstrasi satu kumpulan, termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuntut isu air itu diselesaikan.

“Kabinet negeri dimaklumkan bahawa dalam tempoh dua bulan lalu, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama satu atau dua hari akibat paip pecah.

“Jabatan air telah membekalkan air kepada UMS antara empat juta sehingga tujuh juta liter setiap hari ditambah dengan tiub telaga yang boleh membekalkan satu juta liter setiap hari.

“Saya telah meminta Naib Canselor UMS meneliti perkara itu bagi mengetahui punca air tidak sampai kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, kabinet dimaklumkan bahawa bekalan air ke UMS semakin berkurangan berikutan banyak sambungan haram dikesan dari lima perkampungan sehingga ke universiti.

“Sebab itu saya mahu pihak penguatkuasa jabatan air pergi dan putuskan sambungan haram ini. 

“Selain itu, ambil tindakan tegas terhadap pesalah, sambungan haram itu didapati membekalkan air ke beberapa kampung yang terletak di belakang UMS, iaitu di atas tanah yang menjadi pertikaian antara mereka yang menduduki tanah dan pemilik tanah.

“Mungkin, jabatan air boleh memasang tangki 500 liter di tapak dan mengenakan bayaran kepada penduduk di situ untuk air. Ini akan menghalang mereka daripada menyambung semula secara haram ke saluran air,” katanya.

Beliau memberikan jaminan bahawa tanggungjawab kerajaan negeri adalah membekalkan air dan pelbagai usaha dilakukan, sekali gus bertentangan dengan dakwaan pihak pembangkang.

Hajiji berkata, Loji Rawatan Air Telibong II telah siap dan kini menunggu pemasangan paip air.

“Apabila siap nanti, ia akan menyediakan tambahan 160 MLD untuk menampung bahagian utara Sabah termasuk UMS serta kawasan sekitarnya.

“Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang memberi manfaat kepada penduduk di Papar, Lok Kawi dan Putatan telah pun bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Bila Pendidikan Hilang Jiwa

Kita sedang menyaksikan zaman di mana sekolah tidak lagi menjadi tempat paling selamat di dunia seorang anak.
 Dulu,...

“Sabah for Sabahans” Antara Slogan, Identiti dan Tuntutan Menjelang PRN 2025

Pengenalan: Dari Slogan ke Isyarat Politik Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah 2025), slogan “Sabah for Sabahans”...

Belanjawan MADANI 2026: Sabah Dihargai, Sabah Dibangunkan

Ada sesuatu yang berbeza dalam Belanjawan MADANI 2026.Kali ini, bukan sekadar deretan angka yang dibacakan di Parlimen —...

Diplomasi Malaysia di antara Hikmah dan Perjuangan Gaza

Dalam kehangatan isu Gaza dan kezaliman rejim Zionis yang tidak berkesudahan, Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting...
Exit mobile version