PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membincangkan kaedah dalam mekanisme pelaporan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam, bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata mekanisme itu perlu diperincikan kerana ia membabitkan pelbagai peringkat dalam perkhidmatan awam.
“Kita akan berbincang dahulu dengan JPA dan KSN untuk melihat kaedah dalam mekanisme pelaporan ini kerana bawah undang-undang, khususnya Akta SPRM, ia menjadi kewajipan (untuk melaporkan salah laku dan rasuah). Ini boleh menyebabkan (penjawat awam) dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.
“Itu undang-undang tetapi dalam rancangan sekarang, kita perlu berbincang dengan JPA dan KSN terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku ‘The Sin Of Corruption – A Religious Perspective’, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, Isnin lalu, mahu supaya tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku serta amalan rasuah penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.