Home Berita 28 Jun tarikh pemilihan presiden baharu Iran

28 Jun tarikh pemilihan presiden baharu Iran

0

TEHRAN: Selepas meneliti masa proses pemilihan, ketua-ketua cabang kuasa Iran memutuskan pada 28 Jun ini sebagai tarikh pemilihan untuk menentukan presiden baharu.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), pendaftaran calon akan berlangsung dari 30 Mei hingga 3 Jun, dan tempoh kempen pilihan raya akan berlangsung dari 12 hingga 27 Jun.

Perkara 131 Perlembagaan Republik Islam Iran mewajibkan pembentukan sebuah majlis untuk menguruskan hal ehwal eksekutif negara untuk tempoh 50 hari dan persediaan untuk pilihan raya presiden.

Ini susulan kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi, apabila helikopter yang dinaikinya untuk pulang dari upacara membuka empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan pada Ahad terhempas di Varzaqan, barat laut Iran.

Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah juga berada di atas helikopter itu dan semuanya syahid.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertafakur seminit bagi memperingati dan tanda hormat terhadap Ebrahim, ketika sesi persidangan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam.

Pedro Comissario Afonso, duta PBB untuk Mozambique, yang memegang jawatan presiden bergilir UNSC pada bulan Mei, meminta ahli untuk berdiri sebagai tanda hormat kepada Ebrahim dan mereka yang turut terkorban dalam nahas helikopter terbabit.

Selain itu, pemimpin dunia turut mengucapkan takziah kepada Iran atas kematian Ebrahim termasuk

Presiden China Xi Jinping berkata ‘rakyat China telah kehilangan kawan baik’, kata jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin pada sidang akhbar.

Kesatuan Eropah (EU) menyatakan ‘takziah yang tulus’. Presiden Majlis EU, Charles Michel, dalam satu kenyataan berkata: “Ingatan kami kepada keluarga.”

Jiran negara Teluk Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Qatar dan Oman turut mengucapkan takziah.

Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara, Jassem al-Budaiwi, menyebutnya sebagai ‘kemalangan tragis’.

Presiden Russia, Vladimir Putin, memuji Ebrahim sebagai ‘ahli politik yang cemerlang’ dan ‘rakan sejati Russia’ dalam surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata beliau ‘sangat sedih dan terkejut dengan kematian tragis’ Ebrahim, sambil menambah bahawa ‘India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini’.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam satu kenyataan berkata beliau ‘sangat sedih’ dengan pemergian Ebrahim sambil mengimbas kembali ‘perbincangan jujur’ dengan Ebrahim dan ‘hubungan mesra’ kedua-dua negara.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengumumkan hari berkabung kebangsaan. Terdahulu, beliau menghantar ucapan takziah yang tulus kepada rakyat dan kerajaan Iran, dalam mesej di X.

Pejuang Hamas, dalam satu kenyataan, meratapi Ebrahim sebagai ‘penyokong terhormat’ kumpulan pejuang Palestin itu, yang kini berperang dengan Israel di Gaza, dan memuji ‘sokongannya untuk perjuangan Palestin’. – AGENSI

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version