Malaysia tolak tawaran CGF anjur Sukan Komanwel 2026

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan hari ini mengumumkan keputusan kerajaan tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Dalam satu kenyataan, KBS memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Delegasi daripada CGF bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 5 Februari 2026.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta).


Dana berkenaan bagaimanapun dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar, manakala impak ekonomi juga tidak dapat dikenal pasti dalam jangka singkat ini.

“Kerajaan MADANI mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.17 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini

Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita

70 peratus pelajar asrama penuh disarankan memilih aliran STEM – PM Anwar

Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) di merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM

Ascend Airways mulakan operasi pada akhir 2025

Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)