PMX janji skim gaji jadi keutamaan, puji penjawat awam urus banjir

Date:

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kenaikan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah.

Perdana Menteri memberi jaminan berkenaan sebagai menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kepantasan semua jentera penjawat awam yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas ketika ini.

Kerajaan, jelas Anwar, sangat berterima kasih dengan keikhlasan penjawat awam dalam menguruskan situasi bencana banjir tanpa perlu menunggu arahan.

“Jentera di Persekutuan dan negeri, kepantasan jauh lebih baik. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi kerana turun segera (melawat kawasan banjir), dan Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) memberikan laporan harian.

“(Ketika melawat Johor) Saya sempat juga berjumpa dengan pegawai daerah, Menteri Besar, Ketua Polis dan lain-lain, syukur kepada Allah mereka tak payah tunggu arahan.

“Elok lah saya hadir di sini (untuk mengucapkan kepada) semua penjawat awam, bukan sahaja yang ada di sini tetapi juga di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan lain-lain yang bertindak bahawa kita bangga.

“Kita ingin memberikan dokongan dan galakan dan ada yang tanya tentang skim gaji itu, bila pendapatan negara bertambah, skim gaji akan jadi keutamaan penjawat awam. Insya-Allah… (tetapi) untuk bulan ini tidak mungkin (kenaikan),” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, pada Isnin.

Berucap lagi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Khamis ini, beliau akan memberikan gambaran positif berhubung hasil dan pendapatan negara dari segi jumlah pelaburan sebenar yang dijangka masuk dalam negara.

Antara kejayaan besar kerajaan, kata Anwar, adalah bayaran berjumlah AS$1.8 bilion yang akan diterima daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Kejayaan perolehan bayaran tersebut, tambah Perdana Menteri, menunjukkan keupayaan dan kepakaran yang dimiliki oleh penjawat-penjawat awam dalam menjalankan tugas.

“Buktinya AS$1.8 bilion yang masuk dalam tabung negara dan dana tunai, maknanya unjuran belanjawan itu membuktikan bahawa apa yang saya sebut ketika itu (adalah) keadaan bertambah baik kerana saya sudah maklum dengan perkara itu cuma saya belum tahu jumlah sebenar dan akhirnya kita perolehi AS$1.8 bilion.

“Ini yang saya sebut kepada Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan (Presiden Emiriah Arab Bersatu) dan Yang di-Pertuan Agong, bahawa kita serahkan kepercayaan dan keyakinan kepada pegawai-pegawai dan beri contoh yang baik supaya jangan ada kepimpinan di atas untuk mengadakan ‘deal’ yang tidak wajar,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Kabinet turut bersetuju untuk menggunakan kaedah yang berbeza pada bulan-bulan akan datang bagi memaklumkan mengenai pelaburan sebenar yang masuk dalam negara, dan bukan sekadar melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).

Terdahulu, media melaporkan IPIC dan Aabar PJS, yang merupakan dua firma pelaburan Abu Dhabi bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...
Exit mobile version