Sabah, Sarawak perlu siapkan diri dari aspek pembangunan sempadan, jalinkan Business-to-Business (B2B) dengan Indonesia

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR – Pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, yang berhampiran dengan Sabah dan Sarawak, memerlukan dua negeri itu ‘mempersiapkan diri’ terutama dari aspek pembangunan sempadan dan meneroka jalinan Business-to-Business (B2B) antara kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata antara aspek pembangunan sempadan yang akan diberi tumpuan ialah penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

“Pembangunan bandar-bandar di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak perlu dipercepatkan. Ini terutama untuk tambah baik CIQ, jalan menuju ke CIQ di sempadan-sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” katanya dalam temu bual khas dengan BERNAMA, baru-baru ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah, terdiri daripada 1,881km yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata aspek lain yang turut diberi tumpuan ialah bagi membina dan meneroka jalinan B2B agar interaksi ekonomi antara sempadan dapat diwujudkan bagi memenuhi keperluan kedua-dua negara.

Beliau berkata, misalnya, disebabkan hubungan baik, Sarawak yang telah mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan Barat sejak beberapa tahun lepas, telah diberi peluang untuk terbabit membina empangan hidroelektrik di negara berkenaan.

“Indonesia berhasrat bina kuasa hidro, empat di Kalimantan dan satu pakej itu sekarang ini sudah dipersetujui akan diberikan kepada Sarawak. Sarawak Energy akan jadi pelaksana sebab pengalaman kita membina empat empangan hidroelektrik di Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, menerusi lawatannya ke Indonesia, negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia baru-baru ini, antara perbincangan yang difokuskan ialah peluang bagi meneroka industri huluan dan hiliran terutamanya kelapa sawit antara kedua-dua negara.

“Kalimantan adalah kawasan yang paling banyak ladang sebab tanahnya besar, jadi ini peluang termasuklah nanti bukan sahaja hiliran tapi juga huluan dan bagaimana kita nak perkukuhkan hubungan dua negara dalam konteks ini termasuklah logistik yang sedang kita perincikan dengan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia dan Indonesia mungkin sama-sama boleh merancang untuk membangunkan laluan kereta api di sempadan Sarawak dan Kalimantan, bagi mengangkut barangan dari Kalimantan ke Bintulu, menggunakan kemudahan Pelabuhan Bintulu.

“Mungkin Kerajaan Persekutuan boleh bantu Kerajaan Sarawak untuk berunding dengan pihak Indonesia untuk menyediakan jalan kereta api untuk kemudahan mengangkut barangan dari Kalimantan pergi ke Pelabuhan Bintulu, menggunakan kemudahan Pelabuhan Bintulu.

“Sebab kalau ikut jaringan, jalan laut agak jauh, jadi itu boleh memudahkan Indonesia untuk eksport sebab Kalimantan banyak sumber, jadi kalau kita dapat manfaatkan..boleh dibangunkan secara bersama dengan Indonesia,” katanya.

BACA JUGA:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

PDRM mahu bina PULAPOL serba moden di Sabah

PDRM dalam rancangan jangka panjang akan memindahkan PULAPOL Kota Kinabalu ke satu kawasan di Tuaran yang mana tapak bagi pembinaannya sudah dikenal pasti dan kita hanya menunggu bajet dari kerajaan bagi merealisasikan rancangan ini

JAKIM pertimbang cadangan untuk wajibkan sijil halal bagi restoran

Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda

Kerajaan Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka

Keunikan Sabah dari sudut perpaduan perlu dipertahankan

Ini adalah aset yang sangat penting khususnya di Sabah dan hasil kepelbagaian ini lah yang menyumbang dalam membangunkan negeri ini serta turut membantu dalam mengekalkan keamanan