Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) komited membantu Sabah dalam perkara yang berkaitan penyiaran dan jaringan internet.
Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, semasa kunjungan hormat Mohd Arifin bersama delegasi kementerian itu ke pejabatnya di Angkasapuri, hari ini.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi berkata, selain itu, beliau turut berkongsi mengenai tiga tumpuan utama KKD yang perlu dicapai pada tahun ini, iaitu pemantapan prasarana komunikasi, keselamatan siber dan pelaburan ekonomi digital.
Pada 20 Januari lalu, Fahmi semasa sidang akhbar Mesyuarat Kerja Pelan Strategik KKD 2023-2025 dan Agenda KKD 2023 di Melaka memaklumkan, aspek prasarana akan membabitkan akses internet dan perkhidmatan telekomunikasi, sementara aspek keselamatan membabitkan data serta siber.
Beliau berkata, tumpuan terhadap pelaburan digital pula dijangka dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara pascapandemik sekali gus menjadikan negara ini sebagai hab digital di rantau ASEAN.
BACA JUGA: