Home Berita Hajiji ganti Stephen Jimbangan, dilantik sebagai presiden Gagasan Rakyat

Hajiji ganti Stephen Jimbangan, dilantik sebagai presiden Gagasan Rakyat

0

PETALING JAYA – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dipilih menerajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), dua bulan selepas mengetuai sekumpulan penyokong meninggalkan Bersatu Sabah.

Beliau dinamakan presiden Gagasan Rakyat pada mesyuarat agung luar biasa parti itu hari ini, menggantikan Stephen Jimbangan yang meletak jawatan pada Disember.

Hajiji, yang juga ketua menteri berkata, partinya kini sebahagian daripada GRS, gabungan yang membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, GRS sudah lama mengidamkan parti yang benar-benar tempatan untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

“Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), wadah politik yang 100% tempatan untuk meneruskan perjuangan kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya di Facebook.

Hajiji berkata, beliau dan rakan-rakannya menyertai Gagasan Rakyat kerana “ia adalah parti berbilang kaum yang melambangkan keterangkuman dan mewakili suara rakyat Sabah”.

Beliau berkata, agenda Gagasan Rakyat juga selaras empat tonggak perjuangan GRS untuk mendahulukan Sabah.

Katanya, menjadi parti tempatan tidak bermakna Sabah menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.

Hajiji berkata, beliau akan menjelaskan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat pada 2 Mac ini.

Katanya, parti itu akan menubuhkan cawangan di semua 73 DUN, termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Mesyuarat agung cawangan dan bahagian dijadualkan pada Julai dan September, dan parti itu akan mengadakan kongres tahunannya pada November nanti.

Hajiji juga mengumumkan barisan kepimpinan parti, dengan pelantikan selanjutnya akan dibuat tidak lama lagi.

Presiden: Hajiji Noor

Timbalan Presiden: Masidi Manjun

Naib Presiden: Arifin Arif, Rubin Balang dan Masiung Banah

Ketua Wanita: Redonah Bahanda

Ketua Pemuda: Fairuz Renddan

Ketua Beliawanis: Emmie M Idang

Setiausaha Agung: Razali Razi

Timbalan Setiausaha Agung: Stephen Jacob Jimbangan

Bendahari Agung: Ghulam Haidar Khan

Timbalan Bendahari Agung: Tahir Picho

Ketua Penerangan: Nizam Abu Bakar Titingan

BACA JUGA:

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version