Punca utama rasuah PRU15 berleluasa disebabkan penguatkuasaan yang lemah

Date:

Share post:

SHAH ALAM – Tindakan penguatkuasaan agensi kerajaan yang lemah dikenal pasti menjadi salah punca utama kegiatan rasuah politik dan pembelian undi berterusan berlaku sepanjang tempoh berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lalu.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Saya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, penguatkuasaan yang lemah juga menjadi punca masalah politik wang atau pembelian undi terus berlaku dalam beberapa siri PRU yang lalu.

Jelasnya, sebarang pemberian sumbangan wang tunai atau barangan secara terus oleh parti politik atau calon tertentu sama ada dipanggil ‘sedekah’, hadiah atau sumbangan peribadi dianggap rasuah dan menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Justeru, katanya, segala bentuk kesalahan disebut di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung pemberian sogokan semasa tempoh berkempen perlu dikuatkuasakan sepenuhnya, dihentikan dan dipantau secara lebih serius oleh pihak berwajib terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

“Kita memang sudah lama mengguna pakai Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, namun dari segi penguatkuasaan tidak begitu tegas dan bermusim.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana terdapat kesedaran dalam kalangan rakyat di negara ini mengenai keperluan mengadakan pilihan raya yang bebas rasuah dan meningkatkan tahap integriti susulan dasar kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarhim yang mahu Malaysia bebas dari amalan rasuah dari segala aspek,” katanya.

Wan Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku pembelian undi atau perbuatan rasuah menerusi pemberian ‘sedekah’ ketika tempoh berkempen PRU15 lalu.

Azam dilaporkan berkata,, SPRM telah melakukan siasatan menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu.

Sementara itu, ditanya sama ada program cabutan bertuah yang dianjurkan sesetengah parti politik boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah, Wan Ahmad berkata, perkara itu kurang jelas kerana ia hanya satu bentuk permainan dan bukan pemberian barangan atau rasuah secara terus kepada pengundi.

“Kalau seorang calon atau wakil pasti menyerahkan wang tunai atau barangan secara terus kepada individu, maka ia boleh dianggap rasuah pilihan raya dan perbuatan itu menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 seperti berlaku semasa kempen PRU15 lalu.

“Begitu juga pemberian dalam bentuk ‘hamper’ barangan kepada pengundi dengan niat yang jelas untuk memancing undi. Kalau pengagihan wang atau hamper ke tangan pengundi atau ahli keluarganya sebelum dan selepas PRU, niatnya memang jelas untuk membeli undilah,” katanya.

Berikutan itu, tambahnya, semua parti politik wajib menghentikan amalan pembelian undi menerusi sogokan dan rasuah termasuk menerusi penganjuran jamuan makan malam atau pemberian wang tunai kepada pengundi semasa kempen pilihan raya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berpendapat, tiada keperluan bagi SPR untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kegiatan pembelian undi dan rasuah sepanjang kempen pilihan raya berlangsung kerana PDRM dan SPRM sudah cukup untuk mengendalikan kes seumpama itu.

“SPR memang ada menubuhkan pasukan khas bagi memantau perjalanan kempen pilihan raya seperti ceramah, pemasangan bendera dan kempen dari rumah ke rumah tanpa permit seperti kuasa diberikan oleh Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 namun bagi kes rasuah politik, ia tertakluk kepada bidang kuasa PDRM dan SPRM.

“Jadi SPR tidak perlu lagi menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat amalan rasuah semasa kempen kerana mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menguruskan dan memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar.

“Jadi kita tidak boleh campur aduk tugas SPR dengan perkara lain yang terletak di bawah bidang kuasa polis dan SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

BACA JUGA :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Perkemaskan pentadbiran di semua pejabat daerah di Sabah – Hajiji

Kementerian Pembangunan Luar Bandar adalah sebuah kementerian penting yang bertanggungjawab untuk mentransformasikan kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat

Imigresen perkenalkan eSP bagi mentransformasi perkhidmatan ke arah digital – Saifuddin

Secara purata, 50 peratus daripada jumlah urus niaga di kaunter Pas Lawatan Sosial dan Ikhtisas di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen adalah berkaitan permohonan pas khas dan hal ini mengakibatkan kesesakan

Malaysia-Korea perkukuh hubungan ke tahap strategik dan komprehensif

Malaysia-Korea perkukuh hubungan ke tahap strategik dan komprehensif

Sarawak akan muktamadkan perjanjian jual beli MASwings – Abang Johari

Dengan lapangan terbang yang dibangunkan dengan baik, keseluruhan ekosistem di Sarawak akan bersedia, membolehkan kita berdaya saing dengan destinasi lain