Sabah, Sarawak menanti agenda besar dari PM Anwar selepas 25 tahun

Date:

Share post:

Autonomi kesihatan, mekanisme pelaksanaan projek bawah RM50 juta dan penurunan kuasa Persekutuan kepada jabatan dan agensi negeri dijangka menjadi mauduk perbincangan dalam mesyuarat Majlis Tindakan MA63, yang akan berlangsung di Bilik Majlis Raja-Raja di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Jumaat.

Jika masa mengizinkan, mungkin akan disentuh sedikit agenda persempadanan pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Sabah dan Sarawak sebelum ini menuntut agar penjajaran semula dengan agihan sama rata kerusi di antara tiga wilayah terlibat – bagi memastikan keadilan ketika proses pengundian berlaku di Dewan Rakyat.

Maklumat membisikkan sudah ada titik persetujuan awal bahawa proses ini akan berlaku selewat-lewatnya pada 2026.

Mungkin juga dilanjutkan dengan formula dan mekanisme pengiraan geran tahunan kepada Sabah dan Sarawak, selain tarikh penting pewartaan kedua-duanya sebagai “wilayah”, setelah keputusan mengenainya dimuktamadkan dalam perbincangan yang lalu.

Dengan banyak agenda yang menanti dimuktamadkan, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikan mesyuarat ini amat dinanti.

Anwar sendiri sudah pasti mahu meletakkan titik noktah terhadap apa jua perkara yang melingkari MA63 sekian lama. Perkara ini telah membabitkan lima Perdana Menteri — sejak penafian hak kedua-dua negeri ini pertama kali didedahkan Allahyarham Tok Nan.

Ketika ini, rakyat di seluruh negara, terutamanya dari kedua-dua negeri Borneo itu mengharapkan isu ini dapat diselesaikan segera.

Mereka mahu hak yqng seharusnya dimiliki ketika persetujuqn penubuhan Malaysia direalisasikan dan bukan sekadar tertulis atau ditandatangani di atas dokumen.

Apatah lagi setelah Anwar memanjangkan tanggungjawab ini ke atas bahu Timbalannya; yang juga anak jati Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang dilihat lebih memahami akan latar dan keperluan tuntutan hak itu. Kerana itu Fadillah secara terang-terangan sebelum ini mahu isu ini diselesaikan dalam satu bulan.

Bagi Anwar, jadual kunjungannya ke Sarawak kali ini tidak seperti sebelumnya. Beliau tidak terkejar-kejar menghadiri mesyuarat parti sebelum berebut ke lapangan terbang, seperti dua kunjungan terakhir ke Kuching.

Kali ini beliau hadir sebagai pemimpin utama kerajaan; perkara yang kali terakhir dilakukannya 25 tahun yang lalu, atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet Tun Mahathir Mohamad, sebelum dipecat pada 2 September 1998.

Sebagai Perdana Menteri yang lama berada di blok pembangkang, beliau pasti memahami, malah merasai denyut nadi rakyat kedua-dua negeri ini, yang dilaungnya sebagai agak ketinggalan.

Justeru mesyuarat ini penting, bukan sahaja untuk memastikan pemulangan hak, malah menambah baik agar sejajar dengan keperluan semasa. Inilah waktunya untuk garis dilakar bagi menentukan apa sebenarnya beza di antara “wilayah” dan “negeri” bagi mempermudahkan semua pihak untuk “move on”.

Setelah 60 tahun bersama membentuk Malaysia, pulau seberang Laut China Selatan ini telah mencipta sejarah apabila diberi peluang menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Manakala di Sarawak, tiada lagi istilah Ketua Menteri, bagi menjustifikasikan kedudukan negeri itu yang berstatus wilayah.

Kerana itu, mesyuarat ini dilihat amat signifikan sebagai langkah pemula kepada Malaysia bentuk baharu; yang akan melihat usaha yang lebih gigih untuk mencipta “quantum leap” bagi membolehkan pembangunan di Sabah dan Sarawak diganda dan disegerakan, setara dengan tanah Semenanjung.

Semua pihak harus sedar, apabila Jakarta memilih Nusantara di Kalimantan Timur sebagai ibu negaranya yang baharu, bermakna potensi Borneo untuk menjadi lubuk emas baharu adalah besar.

Malaysia perlu melihat serius perkara ini, kerana tidak mustahil, suatu ketika kelak, salah satu daerah di Baram mahupun di Kapit mungkin berpotensi menjadi Putrajaya baharu bagi Malaysia.

Kunjungan selepas 24 tahun tidak berada di dalam kerajaan, pasti sesuatu yang mengujakan bagi Anwar.

Beliau pernah menolak permintaan pembangunan yang dibawa oleh Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar suatu ketika dahulu ketika menjadi Menteri Kewangan, kerana tiada keperluan.

Situasi sekarang berbeza, dan kita amat berharap ia tidak lagi berulang. Kerana Anwar, sejak menduduki kerusi berpusing di Putrajaya, sudah membayangkan, beliau ada dimensi baharu untuk kedua-dua negeri itu.

Yang jelas, rakyat Sarawak tidak sabar menerima Perdana Menteri kesepuluh ini, terutama untuk makan bersama “pengilan” selepas solat Jumaat, esok.

Ia tradisi rakyat negeri itu yang sentiasa menerima dengan tangan terbuka, siapa pun yang menjadi pemimpin negara.

Dan semoga kehadiran beliau penuh dengan buah tangan, kerana bukan selalu individu yang bergelar Perdana Menteri dapat hadir kerap ke kedua-dua negeri yang terasing ini.

BACA JUGA :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Malaysia-Korea perkukuh hubungan ke tahap strategik dan komprehensif

Malaysia-Korea perkukuh hubungan ke tahap strategik dan komprehensif

Sarawak akan muktamadkan perjanjian jual beli MASwings – Abang Johari

Dengan lapangan terbang yang dibangunkan dengan baik, keseluruhan ekosistem di Sarawak akan bersedia, membolehkan kita berdaya saing dengan destinasi lain

Ringgit teruskan momentum positif

Ringgit meneruskan momentum positif baru-baru ini untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan pada Jumaat

PM Anwar ajak orang ramai hadiri Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

program itu ialah inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama dua tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi