Home Berita MCA, MIC sukar dapat kerusi PRN kali ini di negeri yang diperintah...

MCA, MIC sukar dapat kerusi PRN kali ini di negeri yang diperintah PH  – Penganalisis

0

PETALING JAYA – Komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC sepatutnya berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam “perlawanan persahabatan” menjelang pilihan raya negeri (PRN), kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Menurutnya, dua parti itu tidak perlu terperangkap dalam pakatan pilihan raya antara BN dan PH, yang mana kelihatan agak mustahil bagi dua parti berkenaan dibenarkan meletakkan calon di kerusi tradisi masing-masing.

“Peraturan konvensyen politik di Malaysia adalah parti penyandang mempertahankan kerusi masing-masing. Ini bermakna, di negeri diperintah PH, MCA dan MIC tidak akan diberikan sebarang kerusi untuk ditandingi,” katanya kepada FMT.

Wong berkata, MCA khususnya patut bertanding di kawasan secara tradisinya ditandingi walaupun berdepan kemungkinan tewas kepada PH demi memastikan “jenamanya kekal diingati”.

“Ia memerlukan perlawanan persahabatan dengan PH untuk menguji sokongan,” katanya. “Dalam politik tiada siapa yang mengetahui apa akan berlaku.”

Pada Ahad, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Sany Hamzan, berkata PH akan mempertahankan semua 40 kerusi dimenangi di Selangor pada PRU 2018 jika ada pakatan bersama BN.

Katanya, beliau difahamkan, setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kawasan dimenangi pada 2018, dengan rundingan akan menumpukan menjurus kepada kerusi disandang Perikatan Nasional.

Seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata penyelesaian terbaik bagi MCA dan MIC ialah tidak terlibat sama sekali dalam perjanjian antara BN dan PH, jika dua parti itu mahu bertanding di kerusi tradisi yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua parti mesti bersedia menerima kawasan ditawarkan untuk mereka bertanding. Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada MCA khususnya sedia menjadi “pilihan kedua” kepada seterunya dalam PH iaitu DAP.

PH yang menerajui Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan PAS mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mengadakan PRN tahun ini.

BACA JUGA :

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version