YaPEIM komited bantu usahawan melalui inisiatif pembiayaan mikro

Date:

Share post:

PUTRAJAYA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) komited membantu pembangunan usahawan daripada golongan yang memerlukan melalui inisiatif pemberian pendanaan modal perniagaan.

Ketua pegawai eksekutif merangkap ketua pengarahnya Ameer Ali Vali Mohamed berkata yayasan itu melaksanakan inisiatif tersebut melalui Program Pembangunan Usahawan dan Skim Mikro Kredit Ar-Rahnu YaPEIM.

Beliau berkata pembangunan usahawan merupakan langkah yang paling berkesan untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan.

“Ada dua cara kita boleh keluarkan seseorang daripada kemiskinan. Kita boleh berikan dia duit secara ‘one off’ (sekali). Tetapi apabila penerima itu tidak dapat bantuan dia akan kembali kepada kemiskinan dan ini ibarat hanya memberi ikan kepadanya.

“Jadi yang lebih baik itu adalah kita memberi bantuan agar dia boleh usaha sendiri yang ibarat memberi jala agar dia (penerima bantuan) dapat mencari ikan secara sendiri tiap-tiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk “Sektor Infaq dan Inovasi Pengurusan Dana: Mempertingkat Impak Dalam Pelaburan Sosial” sempena Forum Serantau YaPEIM (FSY) 2024, di sini, hari ini. 

Ameer Ali berkata sejak dilaksanakan pada tahun 2000 oleh Koperasi YaPEIM Bhd, Skim Mikro Kredit Ar-Rahnu YaPEIM telah berjaya menyediakan pendanaan mikro kepada lebih 25 peratus daripada pengguna perkhidmatan itu untuk digunakan sebagai modal perniagaan

Setakat Jun 2024, YaPEIM mempunyai seramai 968,053 orang pelanggan menerusi program Ar-Rahnu YaPEIM.

“Ini terutamanya bagi peniaga kecil dan mikro yang ‘non-bankable’ (tidak boleh membuat pinjaman hartanah daripada bank) yang mempunyai peluang untuk mengembangkan perniagaan, namun memerlukan modal tambahan. Jadi kami memberi peluang kepada mereka untuk mengadai emas bagi tujuan mendapatkan modal. 

“Ini adalah antara usaha kami untuk menyantuni dan membantu usahawan yang non-bankable, unserved dan underserved (yang terpinggir),” katanya.

Ameer Ali berkata Ar-Rahnu YaPEIM kini mempunyai 203 cawangan, enam unit bergerak dan lebih 1,000 pekerja di seluruh negara.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Niaga Compliance (Brunei), Lailatul Zubaidah Hussain yang merupakan ahli panel forum berkenaan berkata badan bukan kerajaan (NGO) perlu melihat kepada model perniagaan yang mampan bagi menjalankan program amal. 

Beliau berkata antara langkah yang boleh diambil NGO untuk menjamin kemampanan kewangan dalam menjalankan program amal termasuk bekerjasama dan menjalin hubungan yang baik dengan pemegang kepentingan utama seperti agensi kerajaan serta sektor korporat. 

“Penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan pemegang kepentingan utama kerana mereka mempunyai pengaruh. Dengan pengaruh, banyak yang boleh kita (NGO) lakukan lagi,” katanya. 

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata badan amal turut perlu memastikan tata kelola yang baik dalam menguruskan dana awam agar tidak berlaku ketidakpercayaan terhadap usaha menyantuni golongan yang memerlukan.

“Ketidakpercayaan adalah cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan sesuatu yang besar dengan dana awam kerana kita boleh terkesan jika ada salah guna kuasa dan dana. 

“Kita perlu pastikan kepercayaan kepada sektor pendanaan awam tinggi dan ambil langkah yang perlu berkaitan tata kelola pengurusan dana,” katanya. 

YaPEIM yang ditubuhkan pada 1991 merupakan organisasi yang memberi tumpuan kepada pengembangan dan promosi prinsip ekonomi Islam di Malaysia.

Objektif utamanya adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan terpinggir dengan menyediakan sumber kewangan dan sokongan bagi meningkatkan keupayaan keusahawanan mereka. 

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Belanjawan 2025 peluang kerajaan untuk teruskan usaha reformasi ekonomi

Kerajaan telah memulakan langkah reformasi ini dengan memperkenalkan pendekatan berani, seperti pelaksanaan dasar pengapungan harga diesel, yang dijangka akan diteruskan pada tahun hadapan

Pembasmian kemiskinan agenda utama kerajaan – Zahid

kerajaan juga komited mengurangkan ketidaksamaan dan memperkasakan masyarakat desa melalui pelbagai inisiatif pembangunan, peluang ekonomi dan akses kepada pendidikan serta kemudahan asas

Sebanyak 53 projek Tamu Desa dilaksanakan di Sabah – Ewon

KUSKOP sentiasa komited untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi membantu peniaga-peniaga kecil di desa dan luar bandar Sabah dan Sarawak

Kerajaan Sabah setuju pelarasan gaji penjawat awam negeri selaras SSPA

pelarasan gaji itu adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri