KKM pastikan Orang Asli terus mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti

Date:

Share post:

GOMBAK: Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa memastikan komuniti Orang Asli mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selari dengan hasrat menjamin kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia selaras slogan Hospital Orang Asli iaitu ‘Komuniti Orang Asli Sihat, Komuniti Orang Asli Sejahtera’.

“Oleh itu, patik berdoa agar Hospital Orang Asli, Gombak (HOAG) ini, seiring dan serangkai dengan seluruh fasiliti kesihatan lain seluruh negara, menjadi fasiliti kesihatan contoh.

“Ini pasti memerlukan kerjasama semua pihak, sama ada kerajaan, swasta atau sektor ketiga, selari dengan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) yang menjadi teras Agenda Nasional Malaysia Sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke HOAG di sini, hari ini.

Lawatan Seri Paduka Baginda adalah sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mendengar sembah taklimat daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Norazman Ayob.

Turut hadir, Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Norazman dalam taklimatnya berkata, HOAG merupakan satu daripada hospital Orang Asli di dunia dan satu-satunya hospital Orang Asli yang terdapat di Malaysia.

Penubuhannya bertujuan memberikan perkhidmatan kesihatan untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu meliputi negeri Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata sepanjang tempoh dua tahun, iaitu dari 2022 hingga 2023, HOAG telah menerima kemasukan 1,434 pesakit Orang Asli di wad.

Sementara itu, pesakit yang menerima rawatan di Unit Pesakit Luar adalah seramai 12,153 orang, manakala pesakit yang menerima rawatan di Klinik Pergigian adalah seramai 3,348 orang.

Hospital Orang Asli berkenaan merupakan hospital tanpa pakar dengan kapasiti 61 katil yang menyediakan perkhidmatan seperti perubatan, kesihatan awam, pergigian, dan farmasi.

Dibina sebagai ‘Rumah Sakit Orang Asli’ pada 1960 khusus untuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, hospital ini telah bertukar nama kepada Hospital Orang Asli pada 1972.

Pada 2012, KKM telah mengambil alih hospital ini daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Sejak itu, hospital ini kekal sebagai pusat rujukan bertaraf nasional bagi Orang Asli seluruh Malaysia, menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bersifat komprehensif dan holistik.

Terdahulu, ketibaan Seri Paduka Baginda diiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan cek sumbangan berjumlah RM30,000 yang diserahkan kepada Pengarah HOAG Dr Izandis Mohamad Sayed.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Kenaikan Geran Khas Interim : Hadiah Istimewa sambutan Hari Malaysia

Ia jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah

Isu Laut China Selatan perlu diuruskan secara diplomatik – Fahmi Fadzil

Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979

PM adakan lawatan ke Sabah selama dua hari

Perdana Menteri dijadual tiba di Kota Kinabalu malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera Harbour, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor

UMNO akan perhalusi kerjasama bersama PH hadapi PRN Sabah

UMNO Sabah menyokong kenyataan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kempen BN-PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota akan dijadikan model dan formula kepada jentera kerajaan Perpaduan