KOTA KINABALU – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperkenalkan satu dana baharu dikenali sebagai Bumiputera Sabah and Sarawak Scale-Up Fund (BSSF) bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera di Sabah.
Dana ini bertujuan membantu syarikat tempatan berkembang ke tahap lebih tinggi melalui sokongan pembiayaan yang fleksibel serta mekanisme jaminan bagi meningkatkan akses kepada modal. Fokus utama adalah kepada sektor pertumbuhan bernilai tinggi yang berpotensi menjana impak ekonomi besar.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, pelaksanaan dana ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, sebaliknya turut memberi manfaat kepada negeri seperti Sabah.
Menurut beliau, dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi bertindak sebagai pemangkin strategik bagi membolehkan syarikat berkembang dengan lebih pantas dan berdaya saing.
Dalam konteks Sabah, pelaksanaan dana ini turut diselaraskan dengan agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang menekankan pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.
Sabah dikenal pasti mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor ekonomi biru seperti perikanan moden, akuakultur bernilai tinggi dan logistik maritim. Potensi ini dianggarkan mampu menjana hasil sehingga ratusan ribu tan metrik dengan nilai berbilion ringgit setiap tahun.
Melalui pelaksanaan BSSF, TERAJU menyasarkan sekurang-kurangnya 100 syarikat pemula (startup) akan menerima manfaat secara langsung. Inisiatif ini dijangka mewujudkan sekitar 500 peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Sabah.
Selain itu, TERAJU turut menetapkan sasaran untuk melahirkan antara lima hingga sepuluh syarikat berskala besar dari Sabah yang berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam masa sama, usahawan tempatan digalakkan untuk mengubah pendekatan perniagaan dengan beralih daripada persaingan kepada kerjasama strategik termasuk penggabungan dan pengambilalihan bagi mengukuhkan kedudukan dalam pasaran.
TERAJU turut menekankan bahawa kejayaan inisiatif ini bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membina ekosistem ekonomi yang lebih kukuh dan inklusif.
