
Gambar kredit : Laman Muka Buku Sumud Nusantara Official
Keputusan Malaysia untuk mengiktiraf Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai misi nasional sebagai satu langkah yang berani dan berprinsip dalam menangani isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Dalam situasi dunia hari ini, tidak banyak negara yang sanggup mengambil pendirian jelas dalam konflik yang kompleks seperti di Gaza. Namun Malaysia memilih untuk tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil dengan komitmen yang nyata.
Pengiktirafan ini membawa makna yang besar.
Apabila sesuatu misi diberi status sebagai misi nasional, ia bukan lagi sekadar inisiatif sukarela atau gerakan NGO, tetapi menjadi sebahagian daripada pendirian rasmi negara. Ini menunjukkan bahawa isu di Gaza bukan dilihat sebagai isu luar, tetapi sebagai tanggungjawab kemanusiaan bersama.
Saya juga melihat kenyataan bahawa sokongan terhadap misi ini merangkumi seluruh ahli Parlimen sebagai satu perkara yang penting. Ini menunjukkan kesatuan pendirian di peringkat nasional, perkara ini sesuatu yang jarang berlaku dalam banyak isu lain. Dalam hal kemanusiaan, perpaduan seperti ini memberikan kekuatan moral yang besar kepada negara.
Namun, di sebalik semua ini, realiti di Gaza tetap membimbangkan. Angka korban yang mencecah puluhan ribu serta sekatan terhadap makanan, ubat-ubatan dan air bersih bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan. Ini adalah krisis kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera dan berterusan.
Bagi saya, inilah alasan misi seperti Global Sumud Flotilla menjadi penting. Misi ini bukan sekadar simbolik, tetapi usaha nyata untuk memberi tekanan dan menarik perhatian dunia. Penyertaan Malaysia dalam misi yang melibatkan ribuan peserta dan puluhan negara juga menunjukkan bahawa negara ini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada gerakan global.
Dalam konteks ini, Malaysia bukan sekadar menyokong dari jauh, tetapi turut berada di barisan hadapan bersama komuniti antarabangsa.Saya juga berpandangan bahawa penglibatan ini melangkaui sempadan agama dan kaum.
Ia berasaskan nilai sejagat iaitu kemanusiaan, keadilan dan tanggungjawab bersama. Ini penting kerana isu seperti ini tidak boleh dilihat dari sudut sempit, tetapi perlu difahami sebagai isu kemanusiaan global.
Pengiktirafan Malaysia terhadap Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai satu langkah yang tepat dan berprinsip. Ia menghantar mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri dalam menghadapi ketidakadilan dan penderitaan manusia.
Dalam dunia yang sering dipengaruhi kepentingan politik, pendirian seperti ini amat penting bukan sahaja untuk Gaza, tetapi untuk menegakkan nilai kemanusiaan itu sendiri.