Pengguna perlu berdisiplin, cerdik mengurus kos sara hidup

Gambar kredit kepada pemilik asal

Saya melihat kenyataan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) sebagai satu peringatan yang sangat tepat pada masanya. Dalam keadaan hari ini, isu kos sara hidup bukan lagi persepsi namun ini adalah realiti yang dirasai hampir setiap isi rumah di negara kita.

Apabila harga diesel pernah mencecah sekitar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia pada Jun 2024 dan petrol RON95 berada sekitar RM2.60 bagi pasaran umum kini, kesannya bukan hanya kepada pengguna jalan raya, tetapi merebak ke seluruh rantaian ekonomi bermula daripada kos pengangkutan hinggalah harga makanan di meja rakyat. Data inflasi yang menunjukkan peningkatan dalam komponen makanan dan utiliti hanya mengesahkan satu perkara: tekanan kos ini adalah menyeluruh dan berterusan.

Apa yang menarik perhatian saya ialah penegasan MTPN tentang bahaya pembelian panik, Ini bukan isu kecil. Rakyat juga ditegaskan untuk menghentikan pembaziran dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Dalam banyak keadaan, kenaikan harga bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan bekalan, tetapi juga dipacu oleh tingkah laku pengguna sendiri. Apabila berlaku pembelian panik, rantaian bekalan terganggu, harga melonjak, dan akhirnya pengguna yang paling terkesan adalah golongan B40 dan M40.

Di sinilah saya melihat perlunya perubahan sikap yang lebih serius.

Pendekatan “perlu, bukan mahu” bukan sekadar slogan, ia mesti menjadi amalan. Tanpa disiplin dalam berbelanja, tekanan kos akan terus dirasai walaupun pelbagai bentuk bantuan disalurkan oleh kerajaan.

Kita juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa sistem harga bahan api negara kini bergantung kepada mekanisme pasaran global melalui APM. Ini bermaksud turun naik harga bukan lagi sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya di peringkat domestik. Dalam masa yang sama, beban subsidi yang boleh mencecah berbilion ringgit setiap bulan menunjukkan bahawa kerajaan juga berdepan kekangan fizikal yang nyata.

Rasionalisasi subsidi, walaupun tidak popular, adalah langkah yang perlu untuk memastikan kelangsungan kewangan negara. Namun, langkah ini juga membawa satu mesej yang jelas kepada rakyat bahawa kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada subsidi sebagai pelindung utama.

Saya juga berpandangan bahawa cadangan seperti pelaksanaan Price Stabilisation Mechanism (PSM), subsidi bersasar berasaskan data masa nyata, serta dashboard harga pengguna adalah langkah yang wajar dipertimbangkan secara serius. Dalam suasana ekonomi hari ini, ketelusan maklumat adalah sama penting dengan bantuan kewangan. Pengguna yang mempunyai maklumat akan membuat keputusan yang lebih bijak, manakala peniaga pula akan lebih bertanggungjawab.

Namun begitu, kita perlu jujur bahawa dasar yang baik sahaja tidak mencukupi jika sikap pengguna tidak berubah.

Kesimpulannya, cabaran kos sara hidup hari ini menuntut pendekatan yang lebih matang daripada semua pihak. Kerajaan perlu memastikan dasar yang responsif dan bersasar, tetapi rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, daya tahan sebenar bukan hanya terletak pada kekuatan dasar, tetapi pada keupayaan masyarakat menyesuaikan diri dengan realiti.

Dan realitinya hari ini jelas, berbelanja secara berhemah bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.

- Advertisement -spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here