Home Berita MyKad dan BUDI95: Langkah tepat, tetapi rakyat perlu faham tanggungjawab

MyKad dan BUDI95: Langkah tepat, tetapi rakyat perlu faham tanggungjawab

0
Gambar kredit kepada Astro Awani

Penjelasan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung penggunaan MyKad dalam inisiatif BUDI95 sebagai satu perkara yang sangat penting untuk difahami oleh rakyat. Apabila kerajaan beralih kepada pendekatan subsidi bersasar, penggunaan MyKad sebagai alat pengesahan identiti adalah sesuatu yang logik dan perlu. Ia bukan sahaja memudahkan pelaksanaan, tetapi juga membantu memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

Namun begitu, kita juga tidak boleh mengambil ringan soal pematuhan peraturan.

JPN telah menjelaskan dengan tegas bahawa di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemilikan MyKad oleh individu selain pemilik sah adalah satu kesalahan. Ini bukan sekadar peringatan biasa malah melibatkan implikasi undang-undang dan risiko penyalahgunaan identiti.

Bagi saya, mesej ini sangat jelas, kemudahan yang diberikan oleh kerajaan datang bersama tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh rakyat.

Apa yang berlaku di Kelantan, melibatkan penyalahgunaan empat MyKad, harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak. Kita tidak boleh menafikan bahawa dalam mana-mana sistem subsidi, akan sentiasa ada ruang untuk ketirisan jika tiada disiplin dan integriti.
Sebab itu saya berpandangan bahawa penggunaan MyKad dalam BUDI95 adalah satu langkah yang tepat dan wajar disokong sepenuhnya.

Dalam banyak keadaan sebelum ini, ketirisan subsidi berlaku kerana ketiadaan mekanisme pengesahan yang kukuh. Apabila identiti boleh dipinjam atau disalah guna, bantuan tidak lagi sampai kepada sasaran sebenar. Dengan penggunaan MyKad, sekurang-kurangnya terdapat satu lapisan kawalan yang lebih jelas dan berstruktur.

Namun, saya juga ingin menegaskan bahawa kejayaan dasar ini tidak hanya bergantung kepada sistem semata-mata. Ia bergantung kepada sikap rakyat. Jika masih ada yang sanggup menyerahkan MyKad kepada pihak lain untuk mendapatkan manfaat yang bukan hak mereka, maka sebaik mana pun sistem yang diperkenalkan, ia tetap akan terdedah kepada penyalahgunaan.

Dalam hal ini, kesedaran awam perlu diperkukuh. Rakyat perlu faham bahawa tindakan seperti meminjamkan MyKad bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga menjejaskan keseluruhan sistem subsidi negara.
Saya juga melihat langkah kerajaan memperkenalkan BUDI95 sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk merasionalisasikan subsidi.

Realitinya, kerajaan tidak mampu menanggung beban subsidi secara menyeluruh tanpa kawalan. Oleh itu, pendekatan bersasar adalah jalan yang lebih mampan walaupun ia mungkin memerlukan sedikit penyesuaian daripada rakyat.

Di sinilah pentingnya kepercayaan antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan yang telus dan adil, manakala rakyat pula perlu mematuhi peraturan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.

Secara keseluruhan, saya menyokong usaha dan cadangan kerajaan dalam menggunakan MyKad sebagai sebahagian daripada mekanisme pelaksanaan subsidi BUDI95. Ini adalah langkah ke hadapan dalam memastikan sistem yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

Namun, kita perlu bersikap jujur. Tanpa disiplin dan tanggungjawab daripada rakyat, sebarang dasar yang baik sekalipun tidak akan mencapai matlamatnya. Akhirnya, kejayaan BUDI95 bukan hanya bergantung kepada sistem, tetapi kepada sikap kita sebagai pengguna dan warganegara.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version