KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Istana Negara, di sini.
Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung selama kira-kira satu jam di Dewan Seri Mahkota itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Wong yang dalam lawatan rasmi dua hari beliau sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 hari ini, tiba bersama delegasi di Istana Negara kira-kira jam 8.30 pagi.
Beliau ditemani isterinya, Loo Tze Lui bersama delegasi tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 6.15 petang semalam.
Ini lawatan kedua Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lalu.
Perdana Menteri Singapura itu hari ini akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wisma Putra dalam kenyataan Ahad lalu memaklumkan, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam memorandum persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
JS-SEZ bertujuan membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan orang ramai daripada kedua-dua pihak, termasuk meningkatkan aliran barangan dan orang ramai, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan serta menyokong pembangunan bakat.
Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat serta meluas dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Tahun ini adalah ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – BERNAMA