Penjaja dan peniaga berlesen wajib carum PERKESO bermula 1 januari 2025

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Langkah mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) terhadap penjaja dan peniaga berlesen bermula 1 Januari tahun depan bertujuan menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan rekod bagi tempoh 2024 hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 53,901 individu dalam sektor penjaja mencarum SKSPS dengan 189 kes tuntutan diterima dan diproses melibatkan pembayaran faedah keseluruhan sektor terbabit berjumlah RM681,174.90.

Menurut PERKESO, langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos 2024 melalui P.U. (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September 2024. 

“SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 berupaya menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan kehidupan dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam jangka panjang.

“Semua penjaja dan peniaga termasuk kios yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dikehendaki mencarum SKSPS, dengan tempoh peralihan diperuntukkan selama empat bulan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan individu yang mempunyai lesen atau kelulusan bagi aktiviti berhubung menjaja atau berniaga sama ada di tepi jalan mahupun pasar yang dikeluarkan pihak berkuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No. 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab. 20) diwajibkan membayar caruman SKSPS PERKESO.

Sektor penjaja ialah yang ketiga dijadikan mandatori untuk caruman SKSPS, selepas sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang bermula 2017 serta sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022.

Dalam pada itu, PERKESO akan terus bekerjasama dengan semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sepanjang tempoh peralihan bagi meningkatkan kesedaran kepada peniaga serta penjaja, memandangkan mereka ialah sebahagian daripada pemacu ekonomi.

Penjaja atau peniaga boleh mendaftar dan mencarum SKSPS menerusi aplikasi “Prihatin” atau hadir ke pejabat PERKESO di seluruh Malaysia, atau layari portal MATRIX PERKESO melalui pautan www.matrix.perkeso.gov.my, atau ejen PERKESO yang sah menerusi https://www.perkeso.gov.my/ejen-keselamatan-sosial-pekerjaan-sendiri.html.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

Sabah dan Politik Warlord: Demokrasi Dibelenggu, Negeri Terus Terikat

Di celah gemuruh perjuangan autonomi, suara pembangunan luar bandar, dan retorik kemajuan rakyat, tersembunyi satu kebenaran yang pahit...

Hajiji Beri Bayangan Pembubaran DUN Selepas Perhimpunan Gagasan Rakyat

Nampaknya pertembungan politik di Sabah semakin tajam menjelang kemungkinan PRN ke-17. Kenyataan Hajiji yang menyokong pandangan Armizan agar...

Daya Tahan Bukan Soal Tak Jatuh, Tapi Soal Berapa Kali Sanggup Bangkit Selepas Jatuh

Hidup ini bukan pentas untuk manusia sempurna. Ia bukan jalan yang rata, tidak juga bebas dari luka dan...

SST Diperluas: Antara Harapan, Ketelusan dan Tanggungjawab Negara

Ketika dunia masih bergelut dengan kesan pasca pandemik, inflasi makanan, konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia sedang...