IPOH: Penetapan kadar gaji premium graduan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara(TVET) mampu menjadi tarikan kepada golongan belia untuk memilih laluan berkenaan sebagai kerjaya masa depan.
Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO) Dr Shamsuri Abdullah berkata gaji yang kompetitif turut membantu mengubah stigma masyarakat terhadap pendidikan TVET, yang sebelum ini sentiasa dipandang sebagai program pendidikan ‘kelas kedua’.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan diperingkat global malah dengan gaji yang menarik, kita dapat memastikan lebih ramai tenaga mahir akan terus kekal dan berkembang dalam pelbagai sektor.
“Ia juga secara tidak langsung, dapat meminimumkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 23 Sept lepas, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan bidang berkenaan pada kadar RM2,500 hingga RM4,000.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penetapan kadar gaji itu melebihi daripada pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini.
Sementara itu, Shamsuri berkata PUO juga terus komited melahirkan lebih banyak graduan berkualiti yang memenuhi pasaran kerja khususnya dalam bidang TVET.
“Kami yakin dengan sokongan dasar seperti ini, lebih banyak lepasan TVET akan berjaya dan memainkan peranan penting dalam memajukan sektor ekonomi negara,” katanya.
Pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai (Pulau Pinang) Mohd Hazim Umar, 19, berkata penetapan kadar gaji premium itu menjadi motivasi untuk berjaya dalam bidang diikutinya ketika ini iaitu jurusan Diploma Teknologi Kimpalan.
Menurut pelatih semester dua itu, dia memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan selepas melihat kejayaan abang sulungnya Mohd Haziq, 32, yang juga bekas pelatih ILP Perai.
“Pada awalnya, ada dalam kalangan rakan terkejut apabila mengetahui saya meneruskan kerjaya dalam bidang kimpalan kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya agak baik dan layak untuk mengikuti kursus lebih popular.
“Namun, selepas memikirkan semasak-masaknya, saya rasa bidang ini lebih menjamin pekerjaan dan menguatkan lagi tekad saya (belajar) apabila melihat abang menikmati gaji belasan ribu ringgit setiap bulan sebagai jurukimpal dalam air,” katanya.
Bekas pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Jenagor di Terengganu, Muhammad Qayyum Abdul Latif, 34, pula berkata keputusan penetapan gaji premium itu merupakan satu pengiktirafan dalam meletakkan tenaga kerja TVET sebaris dengan kerjaya lain yang menyumbang kepada pendapatan utama negara.
Anak kelahiran Kuala Kangsar yang mengusahakan perniagaan penyaman udara berkata langkah berkenaan perlu sentiasa dipantau bagi memastikan majikan yang terlibat secara langsung dalam bidang TVET mengikuti arahan ditetapkan oleh MTVET.
“Kita bimbang arahan telah dikeluarkan untuk kadar gaji tersebut namun ia (majikan) tak patuh. Jadi untuk pastikan ia dipatuhi maka pemantauan mahupun penguatkuasaan juga perlu dibuat.
“Ia bukan ugutan sebaliknya mahu melihat TVET ini berkembang dan mampu dijadikan sebagai kerjaya utama golongan belia dalam menjana pendapatan tetap,” katanya.
– BERNAMA