Peningkatan penarafan kredit menjadikan pelabur tertarik dengan Malaysia

Date:

Share post:

KUALA LUMPUR: Peningkatan penarafan kredit rasmi daripada agensi-agensi yang diiktiraf di peringkat global akan menjadikan bon Malaysia lebih menarik kepada pelbagai pelabur, menurut SPI Asset Management.

Pengarah Urusannya, Stephen Innes berkata dengan JP Morgan, sebuah institusi kewangan global terkemuka, menaikkan penarafannya terhadap Malaysia kepada “neutral” daripada “underweight” selepas hampir enam tahun, impak positif telah dirasai dalam komuniti pelaburan pasaran bon global.

“Langkah ini juga boleh menarik perhatian dana ekuiti tempatan berikutan kenyataan ini membuka mata pelabur ekuiti antarabangsa.

“Petunjuk awal menunjukkan aliran pelaburan mula kembali, walaupun secara berperingkat,” katanya kepada Bernama.

Mengenai impak terhadap ringgit, Innes berkata ini akan membawa kepada aliran pelaburan sebenar berbanding yang bersifat spekulatif.

Katanya ini merupakan pemacu utama mata wang tempatan berdasarkan ringgit tidak boleh diniagakan di pasaran terbuka.

Justeru, katanya kenyataan yang positif dan peningkatan penarafan daripada agensi penarafan dapat menjelaskan sebahagian sebab ringgit mencatatkan kenaikan hari ini.

Bagaimanapun, Innes berkata dari segi perspektif pasaran mata wang, Rizab Persekutuan (Fed) AS mempunyai pengaruh yang besar.

“Sehingga pelabur yakin bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah, kenaikan nilai mata wang di Asia, terutamanya dalam kalangan yang menjana pulangan rendah, dijangka akan menghadapi halangan.

“Oleh itu, walaupun Malaysia menikmati tempoh yang baik dengan pasaran bonnya mendapat sokongan dan ringgit menunjukkan pengukuhan, naratif utama masih ditentukan oleh langkah Fed yang seterusnya,” katanya.

Pelabur asing menilai semula pegangan portfolio mereka di Malaysia

Sementara itu, ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keyakinan daripada JP Morgan itu menunjukkan pelabur asing menilai semula pegangan portfolio mereka di Malaysia selepas mengambil kira beberapa perubahan dasar dan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti produktif negara.

Beliau berkata langkah-langkah tidak popular seperti rasionalisasi subsidi bahan api dan elektrik, sasaran ke arah ekonomi berasaskan pasaran, kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan pengenalan cukai barangan bernilai rendah membayangkan kerajaan sekarang komited untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi.

“Impak positif daripada langkah-langkah ini akan dirasai dalam tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang kerana kerajaan perlu memperuntukkan semula simpanan dan pendapatan tambahan yang dijana daripada inisiatif kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.

“Semua ini akan membantu meningkatkan potensi pertumbuhan negara yang boleh diterjemahkan kepada prospek pendapatan yang lebih baik dalam kalangan syarikat tersenarai,” kata Mohd Afzanizam.

Dari sudut penilaian ekuiti, pelbagai nisbah harga kepada pendapatan (PE) FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada masa ini berada pada 15.3 kali, jauh di bawah daripada purata jangka panjang sebanyak 17.1 kali, katanya

“Sekiranya nisbah PE kembali ke tahap puratanya, saya tidak akan terkejut jika FBM KLCI melepasi paras 1,700 mata.

“Apatah lagi ringgit ketika ini bernilai rendah, seperti yang ditunjukkan oleh bank pusat. Dalam erti kata itu, terdapat insentif jelas dalam kalangan pelabur portfolio asing untuk menilai semula pegangan portfolio sedia ada mereka di Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, tahap pemilikan asing dalam firma yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah sekitar 19 peratus, katanya.

Paras tertinggi adalah sebanyak 25.8 peratus pada Mei 2013.

“Sekiranya pemilikan asing meningkat daripada paras sekarang, kita bakal melihat paras FBM KLCI akan naik lebih tinggi,” kata Mohd Afzanizam.

Pada Rabu, Ketua JP Morgan bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun/China) Rajiv Batra JP Morgan dalam wawancaranya dengan stesen media CNBC berkata firma itu telah menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada ‘underweight’ kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun dan menyifatkan prestasi itu didorong oleh pembaharuan dasar-dasar negara, pelaburan pusat data serta pembangunan infrastruktur.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Related articles

RM75.5 juta bantuan pendidikan diperuntukkan tahun ini untuk laksanakan 13 inisiatif – KM Hajiji

Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini

Tukar pengurusan kanan Sapura antara syarat untuk suntikan dana diberikan – PM Anwar

Mesti diganti dengan pengurusan baharu dan kalau ada permasalahan yang membabitkan keperluan siasatan, jadi ini pertimbangan kita

70 peratus pelajar asrama penuh disarankan memilih aliran STEM – PM Anwar

Kita ada Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sekarang kecerdasan buatan (AI) di merata tempat, tetapi anak-anak kita tidak ambil STEM

Ascend Airways mulakan operasi pada akhir 2025

Kami komited untuk memperkukuh landskap penerbangan Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ACMI yang boleh dipercayai kepada syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, broker sewaan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)