Ulang tahun ke-50 Malaysia-China adalah titik baharu kerjasama yang lebih erat

Date:

KUALA LUMPUR: China sedia bekerjasama dengan Malaysia, menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sebagai titik permulaan baharu, untuk menyelaraskan strategi pembangunan, mempereratkan kerjasama yang saling mendatangkan manfaat dan meningkatkan pertukaran serta pembelajaran bersama antara tamadun.

Perdana Menteri China, Li Qiang yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia, berkata China juga bersedia mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan dan memberikan sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan, dan kemakmuran rantau ini serta dunia secara keseluruhan.

“Pada masa ini, China sedang memajukan pemodenan warga China secara menyeluruh melalui pembangunan berkualiti tinggi. Malaysia, di pihaknya, mempromosikan pembangunan negara di bawah visi Malaysia MADANI. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia…,” katanya dalam kenyataan ketibaan yang disediakan kepada BERNAMA selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.

Ini lawatan pertama Li ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac tahun lalu.

Lawatannya berbetulan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China, selepas penandatanganan Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Menurut Li, sepanjang 50 tahun sejak penubuhan hubungan diplomatik, hubungan China-Malaysia telah mengekalkan momentum pertumbuhan yang baik.

“Kami telah mengukuhkan kepercayaan strategik bersama, memperhebatkan pertukaran antara rakyat, dan mencapai hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama Jalur dan Laluan yang berkualiti tinggi.

“Malaysia adalah ekonomi memuncul yang utama di Asia, ahli utama ASEAN, dan mempunyai peranan penting untuk kemakmuran serta kestabilan serantau,” kata Li.

Perdana Menteri itu berkata pertumbuhan hubungan China-Malaysia telah membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, dan memberikan sumbangan positif kepada keamanan dan pembangunan di rantau ini.

Li berkata, beliau berbesar hati untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin menyampaikan salam mesra dan ucap selamat kepada kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Anwar mencapai persefahaman penting mengenai pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.

Dalam lawatan rasminya kali ini, beliau “menantikan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan bertemu Perdana Menteri Anwar untuk perbincangan mendalam mengenai pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia dan mempereratkan kerjasama strategik menyeluruh kami.”

“Saya juga akan menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia dan Tahun Persahabatan China-Malaysia,” katanya.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related articles

Bila Pendidikan Hilang Jiwa

Kita sedang menyaksikan zaman di mana sekolah tidak lagi menjadi tempat paling selamat di dunia seorang anak.
 Dulu,...

“Sabah for Sabahans” Antara Slogan, Identiti dan Tuntutan Menjelang PRN 2025

Pengenalan: Dari Slogan ke Isyarat Politik Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN Sabah 2025), slogan “Sabah for Sabahans”...

Belanjawan MADANI 2026: Sabah Dihargai, Sabah Dibangunkan

Ada sesuatu yang berbeza dalam Belanjawan MADANI 2026.Kali ini, bukan sekadar deretan angka yang dibacakan di Parlimen —...

Diplomasi Malaysia di antara Hikmah dan Perjuangan Gaza

Dalam kehangatan isu Gaza dan kezaliman rejim Zionis yang tidak berkesudahan, Malaysia sekali lagi tampil memainkan peranan penting...
Exit mobile version