BERLIN: Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, menggesa Jerman untuk mengambil pendekatan lebih inklusif dan adil berkaitan eksport komoditi itu ke Eropah.
Kenyataan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkongsi kebimbangan Malaysia mengenai dasar Kesatuan Eropah (EU) berkaitan perubahan iklim, termasuk Peraturan Penebangan Hutan yang sebaliknya boleh menjadi satu bentuk langkah dagangan bukan tarif.
Kebimbangan itu telah dibangkitkan dalam pertemuan Anwar dengan Naib Canselor Jerman merangkap Menteri Ekonomi dan Tindakan Iklim, Robert Habeck.
Pertemuan itu diadakan di Berlin Station sebelum Anwar menyampaikan ucaptama pada acara tahunan SME Future Day 2024 (Mittelstand).
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. – BERNAMA