KUALA LUMPUR – Tiada belanjawan negara yang sempurna atau mampu menyelesaikan semua permasalahan.
Itu pandangan dikemukakan Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Apurva Sanghi berkait Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu.
Menerusi perkongsian di Twitter beliau, Apurva berkata belanjawan tersebut telah menetapkan hala tuju yang baik dalam pelbagai perkara.
Beliau bagaimanapun menggariskan beberapa isu dasar yang masih perlu diberi fokus oleh kerajaan menerusi dimensi 3D (Data, Development & Discipline).
DATA
“Syabas kepada kerajaan yang telah menjadikan data lebih terbuka dan mudah diakses. Namun, bolehkah kita dapatkan data perbelanjaan mengikut projek, kategori dan geografi?
“Sabah, Sarawak akan mendapat RM12 bilion. Bagus, tetapi apa data atau kriteria yang membolehkan mereka atau negeri lain mendapat peruntukan? Bolehkah ia (data) dijadikan secara terbuka,” katanya.
Beliau turut memuji keputusan untuk lebih banyak tender secara terbuka dilaksanakan selepas ini.
Menurutnya, dalam analisis Bank Dunia pada 2017, ia mendapati sekitar 30 peratus projek mega dianugerahkan secara rundingan terus.
Justeru beliau berpandangan isu tersebut adalah lebih sistemik melangkaui projek mitigasi banjir.
“Mengapa tidak mempertimbang untuk tender terbuka melibatkan semua projek mega, dalam semua sektor?
“Bagaimana pula data berkenaan tempoh menunggu di hospital, penggunaan pengangkutan awam atau dan sebagainya?
“Jabatan kerajaan di United Kingdom (UK) perlu mengemukakan butiran terperinci bagi semua projek yang menelan belanja melebihi £25,000.
“Bolehkah Malaysia melakukan perkara yang sama?” soalnya.
DEVELOPMENT (Perbelanjaan Pembangunan)
Menurut Apurva, perbelanjaan pembangunan (DE) yang diperuntukkan adalah sekitar RM99 bilion daripada keseluruhan RM388 bilion.
Bagaimanapun, selepas menolak sekitar RM13 bilion untuk tebusan bon 1MDB, peruntukan yang tinggal adalah sekitar RM85 bilion atau hanya 22 peratus bagi DE.
“Adakah ia mencukupi bagi Malaysia – sebuah negara menua?
“Sebagai contoh, walaupun peruntukan yang besar, perbelanjaan kesihatan hanya sekitar 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Beliau turut mempersoal sama ada dana tersebut disalurkan secara tepat lantaran peruntukan bagi kesihatan, pendidikan, infrastruktur, PKS, belia dan lain-lain adalah sama penting.
“Namun, dengan ketiadaan analisis kos faedah sosial secara terbuka, tidak mudah untuk tahu sekiranya projek-projek dipilih berdasarkan pulangan kepada peningkatan ekonomi atau sosial.
“Malah, analisis kami pada 2017 menunjukkan tahap kecekapan pelaburan awam di Malaysia hanya sekitar 50 peratus, lebih rendah berbanding 70 peratus di negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa impak DE sukar diseragamkan dengan mengambil contoh apabila lebih 70 agensi menawarkan program latihan kemahiran selain 35 agensi melaksanakan lebih 100 program digitalisasi PKS.
Justeru, Apurva melihat, program yang pelbagai dan bertindan boleh mengurangkan impak perbelanjaan yang baik bagi meningkatkan kemahiran dan PKS.
DISIPLIN: Defisit, cukai & subsidi
Menurut beliau, kadar defisit dijangka menurun daripada 5 peratus KDNK pada 2023 kepada 3.2 peratus pada 2025.
“Adakah ia realistik?
“Pada 2022, ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 8.7 peratus disokong oleh harga minyak yang tinggi iaitu sekitar AS$100 setong.
“Tetapi pertumbuhan pada 2023 adalah 4.5 peratus dengan harga minyak AS$80 setong ketika ini dijangka akan lebih rendah,” katanya.
“Bagaimana sekiranya harga minyak jatuh di bawah paras AS$80 setong?” ujarnya.
Sekiranya ia berlaku, beliau menjangkakan hasil kerajaan akan lebih rendah daripada 2022, namun tidak dinafikan ia juga boleh meningkat.
Berkait beberapa cukai seperti barangan mewah, individu berpendapatan tinggi dan keuntungan modal, kerajaan perlu mengambil kira faktor reaksi tingkah laku.
“Barangan mewah biasanya sensitif terhadap perubahan harga.
“Individu berpendapatan tinggi pula boleh melantik akauntan percukaian terbaik.
“Keuntungan selalunya bergerak merentas sempadan.
“Jadi saya tidak begitu yakin berkenaan potensi meningkatkan hasil, tetapi ia merupakan isyarat yang baik dalam meluaskan asas percukaian,” katanya.
Berkait subsidi pula, Apurva berkata ia sekitar 3.4 peratus KDNK tahun lalu di mana pengurangannya mampu menangani sasaran defisit.
“Namun, belanjawan kali ini hanya menyentuh secara umum sahaja berkait subsidi.
“Malah, isu lain berkait disiplin fiskal sebagai contoh mengapa dividen petroleum dibelanja untuk perbelanjaan operasi seperti pembayaran gaji sebagainya sedangkan ia sepatutnya disimpan bagi generasi masa depan atau dibelanja untuk pembangunan?” soalnya.
BACA LAGI: